Para fuqaha’ berpendapat
bahawa penyusuan wajib ke atas ibu.
Tetapi apabila seseorang
ibu itu telah bercerai dan tamat iddahnya, pihak berkuasa iaitu kadi atau
hakim tidak boleh memaksa ibu supaya menyusui anaknya.
Ini kerana penyusuan anak
termasuk dalam tanggungan nafkah sedangkan nafkah anak menjadi tanggungjawab
bapa.
Namun begitu, sekiranya
keadaan anak itu memaksa ibunya supaya menyusuinya, maka ketika ini pihak
berkuasa boleh melakukan paksaan ke atas ibu supaya menyusui anaknya (Salleh
Ismail. 1993. Tuntutan Hidup Muslim. Terengganu: Terbitan KUSZA, hlm 42).
Mengikut pendapat jumhur
ulama yang terdiri daripada mazhab Shafi’e, Hanafi dan Hanbali, pihak kadi
atau hakim boleh memaksa ibu menyusui anaknya sekalipun hubungan antara
kedua-dua ibu bapa itu masih kekal sebagai suami isteri yang sah.
Keadaan ini berlaku
apabila anak itu tidak dapat menerima susu lain selain susu ibunya.
Begitu juga jika tidak
ada sesiapa yang mahu menyusuinya atau kerana bapanya orang miskin dan tidak
mampu membiayai upah penyusuan atau tidak ada sesiapa yang sudi menyusuinya
dengan percuma dan anak itu tidak mempunyai harta (Muhammad Salam Madkhur.
1978. al-Wajiz li Ahkam al-Usrah fi al-Islam. Qaherah: Dar al-Nahdah
al-’Arabia, hlm 452).
Walau bagaimanapun ibu-ibu
hanya wajib menyusui anak-anaknya jika mereka tidak memiliki apa-apa keuzuran
yang menghalangnya daripada menunaikan tugas tersebut seperti kekeringan air
susu atau berpenyakit yang boleh mendatangkan mudarat dan berbahaya kepada
bayi.
Jika ibu sihat dan tiada
sebarang keuzuran yang menghalang, tetapi telah ada persetujuan antaranya
dengan suami untuk mengupah orang lain menyusui anak mereka, maka ia diharuskan
kerana kewajipan tersebut berdasarkan kepada kepentingan dan kemaslahatan anak.
(Muhammad Rasyid Redha T.th. Tafsir al-Quran al-Karim al-Shahir bi Tafsir
al-Manar. Juzuk 2. Misr: Maktabah al-Qaherah,hlm 409-410).
Hal ini dinyatakan telah
oleh Allah S.WT dalam ayat-Nya:
Maksudnya:
Kalau kedua-duanya (suami
isteri) hendak menceraikan penyusuan sebelum dua tahun dengan
persetujuan dan perundingan antara kedua-duanya, tidaklah mengapa.
Dan kalau kamu hendak menyusukan anakmu kepada perempuan lain, tidaklah
mengapa jika kamu berikan pembayaran mengikut sepatutnya.
(al-Baqarah 2: 233)
Dari aspek kehakiman,
para fuqaha’ berselisih pendapat dalam menentukan hukum penyusuan.
Menurut
satu pendapat yang masyhur daripada Imam Malik, ibu wajib menyusukan
anaknya dari segi kehakiman sebagaimana wajib dari segi keagamaan (Zakiyuddin
Say’ban. 1971. al-Ahkam al-Shar’iah li Ahwal al-Shakhsiah. Misr: Dar al-Nahdah
al-’Arabiah, hlm 605).
Menurut pendapat Imam
Hanafi pula, tidak wajib ibu menyusukan anaknya dari segi kehakiman sekalipun
ia wajib dari segi keagamaan.
Jika ibu enggan
sedangkan dia berkemampuan dan berkuasa, maka kadi boleh boleh memaksanya
dalam keadaan tertentu.
Imam Shafi’e pula
berpendapat, adalah menjadi tanggungjawab serta kewajipan bagi ibu menyusukan
anaknya terutamanya susu permulaan (kolostrum) kerana ia amat penting bagi
bayi untuk membina kekuatan mental dan fizikal.
Selain itu,
sekiranya ibu tidak merupakan satu-satunya orang yang akan menyusukan
anaknya dan kebetulan pula ibu tidak mahu menyusukan anaknya, maka wajib bapa
mencari wanita lain dan membayar upahnya untuk menyusukan anaknya itu.
Prosedur
penyusuan boleh dibincangkan antara kedua-dua suami isteri samada
bayi itu perlu dihantar ke rumah ibu yang menyusukan itu atau ibu tersebut
datang sendiri ke rumah bayi apabila tiba waktu bayi menyusu (Zakaria
Ahmad al-Barri. 1964. Ahkam al-Aulad fi al-Islam. Misr: Dar al-Qaumiah, hlm
35).
Tetapi jika cara ini
tidak disepakati di antara ibu kandung dengan wanita yang menyusukan itu, maka
wajiblah wanita yang menyusukan tinggal bersama-sama dengan ibu kandung bayi
tersebut supaya ibu kandung dapat melaksanakan tugasnya sebagai pengasuh
anak tersebut.
Apabila masa menyusu yang
disepakati telah tamat tetapi bayi itu masih memerlukan penyusuan ibu maka ibu
atau wanita yang menyusukan itu mestilah memanjangkan lagi tempoh penyusuan
dengan ditambah pula upah yang akan diterima.
Ketentuan itu perlu
dilaksanakan demi menjaga kesejahteraan bayi sehingga bayi tidak lagi
memerlukan air susu ibu.
Tugas menyusukan bayi
boleh juga digantikan oleh lain sekiranya ada yang sanggup dan mahu bayi itu
menyusu kepadanya.
Begitu juga tentang upah
ibu susuan yang kedua akan dikira sesuai dengan tempoh lamanya
dia menyusukan. (Salleh Ismail.1993. Tuntutan Hidup Muslim. Terengganu:
Terbitan KUSZA, hlm 145).
Sekiranya ibu yang menyusukan
itu mahu menyusukan anak dengan sukarela tanpa dibayar upahnya tetapi dalam
waktu beberapa bulan dia mahu berhenti menyusukan maka permintaannya itu boleh
diterima.
Tetapi jika bayi itu
sudah terbiasa menyusu kepadanya dan tidak mahu lagi menyusu kepada orang
lain maka tugas menyusu tetap dibebankan kepada ibu tersebut dengan dibayar
upah tertentu waalaupun pada mulanya dia menyusukan secara sukarela.
Hal ini perlu
dilaksanakan agar bayi itu tidak sakit atau lemah atau lemah kerana terlalu
cepat dihentikan tempoh penyusuan.
Rujukan: Ayu Aima Yusuf
(2002). Hukum Penyusuan. Penyusuan Susu Ibu Menurut Perspektif Islam. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors, hlm 44-36.
Nota Ummu Ibtisam:
Saya adalah pelajar aliran sains dan bukan pelajar aliran agama. Ilmu
yang ditulis ini dirujuk dari buku Penyusuan Susu Ibu Menurut Perspektif Islam.
Moga dapat membantu ibu-ibu lain memahami betapa pentingnya susu ibu pada anak.
Sumber: dunia susu ibu.com
2 sumpah ako sayang korang:
kesimpulannye, anak berhak dapat susu dari ibunya kan. :)
infonya bagus :)
Catat Ulasan