ADAKAH anak anda
menggunakan puting bayi? Jika ya, anda mungkin perlu menghadapi
kenyataan yang pahit hasil penemuan terkini bidang perubatan.
Kanak-kanak yang menggunakan puting bayi sebenarnya berisiko tiga kali
ganda menghadapi kesukaran bercakap ketika usia mereka menjelang dewasa
kelak.
Kajian saintis
mendapati kanak-kanak prasekolah yang menggunakan puting bayi
sekurang-kurangnya selama tiga tahun lebih cenderung mempunyai kesukaran
membuat ucapan berbanding kanak-kanak yang langsung tidak menggunakan
alat tersebut. Penyelidikan tersebut turut membuktikan kanak-kanak yang
menghisap jari juga menghadapi risiko lambat bercakap.
Kajian yang
dijalankan sebelum ini oleh The American and Chilean adalah bagi
mengetahui hubung kait antara tabiat suka menghisap ibu jari, penyusuan
ibu dan penggunaan puting bayi bagi menenangkan bayi terhadap 128 orang
kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun.
Mereka juga
menggunakan ujian linguistik bagi mengenal pasti tahap normal
perkembangan kebolehan bertutur dalam kalangan kanak-kanak tersebut
terutama yang melibatkan sebutan dan bunyi huruf.
Menurut ketua
penyelidik dari Universiti Washington, Dr. Clarita Barbosa, kanak-kanak
yang menghisap jari, ibu jari atau puting bayi untuk tempoh
sekurang-kurangnya selama tiga tahun akan mengalami gangguan dari segi
perkembangan bahasa dan pertuturan sehingga tiga kali ganda.
Berbanding kanak-kanak yang diberi susu ibu sehingga
mencecah usia sembilan bulan dan langsung tidak menggunakan botol susu,
risiko terhadap mereka amat rendah.
“Hasil ujian ini
menjelaskan bahawa lebih lama penggunaan puting bayi, kesukaran untuk
bertutur akan semakin meningkat,” jelas Barbosa. Tambahnya, walaupun
keputusan ini memerlukan bukti yang lebih mendalam terutama melibatkan
jangka masa penyusuan ibu, orang ramai harus melihatnya sebagai langkah
berjaga-jaga.
Perdebatan mengenai penggunaan puting bayi tersebut telah
lama merunsingkan ibu bapa kerana sesetengah kanak-kanak amat selesa
menggunakan puting tersebut bagi menenangkannya.
Doktor gigi
bagaimanapun berkata, penggunaan puting bayi pada keadaan tertentu
berupaya mengubah pembentukan gigi apabila digunakan terlalu lama.
Kajian itu dilakukan oleh sebuah pasukan dari de Rehabilitacion Club De
Leones Cruz del Sur dan Universiti Washington. Ia diterbitkan dalam
jurnal BMC Paediatrics.
Penggunaan secara berlebihan…
Penggunaan puting
bayi secara berlebihan, secara salah atau terlalu lama sehingga
melangkaui zaman persekolahan boleh membawa kepada masalah mulut dan
gigi.
Gejala-gejalanya ialah:-
- Gigi beralih posisi – Gigi tertolak ke depan menyebabkan gigi bawah dan atas bahagian depan tidak bertemu dengan baik.
- Kerosakan gigi (bahagian depan) – Berlaku jika puting bayi dicelup ke dalam bahan manis sebelum dihisap.
- Bernafas melalui mulut – Anak anda mungkin akan lebih cenderung untuk bernafas melalui mulut berbanding hidung. Keadaan ini boleh menyebabkan anak mengalami masalah air liur meleleh berpanjangan.
- Masalah pertuturan dan bahasa - Anak anda mungkin tidak dapat menggunakan sepenuhnya pergerakan lidah yang diperlukan untuk menghasilkan semua sebutan dan peluang mereka mungkin lebih tipis untuk menggunakan bunyi bagi tujuan berkomunikasi.
- Menggalakkan anak berhenti menggunakannya – Kebanyakan kanak-kanak berhenti menghisap puting bayi, jari atau ibu jari pada umur antara dua dan empat tahun. Bagaimanapun, menghisapnya terlalu lama melebihi enam atau tujuh tahun (ketika gigi kekal sedang tumbuh) boleh mengakibatkan masalah gigi dan mulut.
sumber kosmo dan harlinda halim..credit!
3 sumpah ako sayang korang:
ade betolnye artikel itu...
pasal dadif kuh lambat bercakap.d.an malas utk ebrcakap..pasal puting dok melekat aje kat mulot!
Dhiya x guna puting pun dulu..
masa dia nak tumbuh gigi tu pernah ler bagi dia gigit-gigit, tapi dia geli..hehe
sepupu jaa umur 8 tahun, stil lagi minum susu botol. huhuhu.
Catat Ulasan