cuti Bersalin




Kita seharusnya akur, setiap seorang bayi yang lahir, ia adalah aset negara yang perlu dipelihara kebajikannya dan ia bermula daripada kebajikan ibu seawal kehamilan mereka.
Perunding Rakan Sebaya Penyusuan Ibu Malaysia, Nor Kamariah Mohd Alwi, berkata seharusnya kerajaan memberikan cuti bersalin 90 hari itu untuk semua wanita tanpa mengehadkan jumlah anaknya supaya wanita berasa senang untuk hamil, tanpa perlu terikat dengan masa ditetapkan.
“Kerajaan berkata bagi menambah baik kemudahan cuti bersalin kepada penjawat awam wanita, kerajaan memberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari berbanding 60 hari pada masa ini. Kemudahan itu bagaimanapun adalah tertakluk kepada kelayakan keseluruhan bilangan cuti bersalin sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Sebelum ini, cuti 60 hari diberikan dan ia membabitkan 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan juga, dan bila naik kepada 90 hari, maka secara automatik ia sepatutnya menjadi 450 hari (had sehingga lima orang anak). Pada saya, dengan peruntukan 300 hari yang tidak berubah, kerajaan secara tidak langsung mengehadkan bilangan anak kepada tiga, lambat laun wanita di negara ini tidak berminat lagi untuk bersalin ramai,” katanya.
Hari ini, had lima orang anak mendapat cuti berbayar jugalah menjadi punca bilangan keluarga beranak ramai boleh dibilang dengan jari.
Tegasnya, rasional cuti panjang bagi membolehkan anak mendapat susu ibu sepenuhnya. Corak penyusuan susu ibu di Malaysia menunjukkan cuti bersalin yang tidak mencukupi boleh menafikan hak bayi terhadap susu ibunya dan menjadi antara sebab mengapa pada 2006, hanya satu dalam tujuh bayi di negara ini mendapatkan penyusuan susu ibu secara eksklusif dalam kehidupannya.

“Tempoh cuti panjang membolehkan ibu lebih tenang memberikan susu ibu, selain mengumpul stok susu ibu apabila sudah kembali bekerja nanti,” katanya mengulas mengenai Bajet 2011, yang antara lain memberikan kakitangan wanita cuti bersalin 90 hari berbanding 60 hari sekarang.
Analisis data penyusuan susu ibu kebangsaan Kementerian Kesihatan menunjukkan, jumlah penyusuan secara eksklusif di negara ini tinggi pada dua bulan pertama iaitu mencatat lebih 40 peratus, tetapi menurun berterusan dua atau tiga bulan selepas itu apabila cuti bersalin habis dan ibu perlu pergi bekerja.
Peratusan itu menurun kepada 14.5 peratus iaitu di bawah paras standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Apa yang jelas, corak penyusuan itu turut memperlihatkan peratusan ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif selama enam bulan pertama di Malaysia adalah sangat rendah dan ia adalah antara kadar penyusuan paling rendah di Asia Tenggara.
Di Malaysia, secara umum wanita diberikan sehingga lapan minggu atau 60 hari cuti bersalin bergaji iaitu enam minggu kurang daripada 14 minggu yang disarankan oleh Konvensyen Perlindungan Kehamilan Persatuan Buruh 2000.
Pegawai Siasatan Persatuan Pekerja Wanita Malaysia (PERWANIS), Lim Ai Yim, berkata cuti bersalin sebanyak 90 hari sepatutnya diberikan semua wanita tanpa memikirkan wanita itu berkhidmat di sektor awam atau swasta.
“Sepatutnya hal cuti bersalin ini dibentangkan di Parlimen, oleh itu, semua pekerja wanita dapat manfaat kerana ia membabitkan kesihatan wanita secara keseluruhannya. Sepatutnya soal cuti tidak timbulkan kerana ia adalah hak wanita dalam memastikan kesejahteraan bayi yang dilahirkan itu.
“Pengorbanan yang dilakukan ibu bekerja menyentuh hati terutama apabila terpaksa meninggalkan bayi hanya selepas beberapa bulan melahirkannya dan kembali bekerja. Pelaburan untuk masa depan anak mestilah bermula sebelum anak berkenaan dilahirkan.
“Ini bermakna, adalah penting menjaga kesihatan, mendidik wanita dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan memberi keyakinan untuk menerima kehadiran bayi yang dilahirkan serta membesarkan mereka,” katanya yang turut kecewa ada segelintir majikan yang masih tidak prihatin dengan kebajikan pekerja wanita, termasuk tidak menyediakan tempat memerah susu bagi ibu yang beranak kecil.
Hakikatnya cuti bersalin bukan saja isu wanita, tetapi isu pembangunan keluarga, sekali gus ada kaitan dengan jalinan hubungan suami dan isteri serta membina kehidupan institusi keluarga.
Jika untuk melahirkan anak banyak timbul kerenah dan kesukaran pada pihak majikan, sudah pasti negara tidak mempunyai sumber tenaga kerja mencukupi. Hal ini perlu difikirkan bersama, ketika ini bukan saja semakin ramai wanita bujang atau berkahwin pada lewat usia dan tidak mustahil, satu hari nanti kerajaan terpaksa mengadakan kempen menggalakkan wanita hamil pula.
INFO: Cuti bersalin pelbagai negara:
  Brazil – 4 bulan bagi ibu, 7 hari bagi bapa. Gaji dibayar 100 peratus.
  Cameroon – 3 bulan bagi ibu, 10 hari bagi bapa. Gaji dibayar 100 peratus.
  China – 3 bulan, gaji dibayar 100 peratus.
  Itali – 5 bulan, 80 peratus gaji dibayar selepas bersalin.
  United Kingdom – 7 bulan, 90 peratus gaji dibayar untuk 6 minggu pertama dan baki 20 minggu gaji dibayar dengan bayaran yang ditetapkan.
  Sweden – peruntukan 450 hari cuti berbayar keibubapaan dan gaji berbayar ketika waktu penyusuan dibuat. Kemudahan disediakan untuk penyusuan.
  Perancis – 16 minggu (4 bulan) cuti bersalin pada 84 peratus gaji minimum harian bagi anak pertama dan kedua. Untuk anak yang berikutnya cuti adalah 24 minggu (6 bulan).
  Norway – cuti bersalin 42 minggu pada gaji penuh atau 52 minggu pada 80 peratus gaji. Negara itu juga mempertimbangkan pilihan cuti keibubapaan anjal dan waktu kerja anjal sehingga dua tahun mengikut keperluan pekerja.
  Belanda – menyediakan manfaat cuti bersalin 16 minggu dengan cuti berbayar penuh diikuti oleh cuti keibubapaan tidak berbayar sehingga enam bulan.

Sumber:duniasusuibu.com

2 sumpah ako sayang korang:

9n0L4 berkata...

gile ahhhhhh cuti 7 bulan. huhu. bestnyeeee. boleh mengandung lagi dlm jangka mase tu. hehe.

Abang Karu berkata...

aku x de cuti bersalin hehehee

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © Mummy Hezrina | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in